Wednesday 10 December 2014

Bayi ditanam 
dua jam masih hidup


BEIJING 8 Dis. - Seorang bayi perempuan pramatang di China terselamat meskipun ditanam hidup-hidup selama dua jam oleh neneknya selepas ibu bapa bayi itu menyangka anak mereka telah meninggal dunia.

Bayi perempuan itu ditanam oleh neneknya di bawah sebatang pokok di halaman rumahnya di daerah Dongdong, wilayah Liaoning di timur laut China dalam satu kejadian baru-baru ini, lapor Mirror.co.uk. Bagaimanapun, bapa kanak-kanak itu, He Yong segera menggali semula lubang tersebut selepas doktor yang merawat isterinya, Lu Xiaoyun memaklumkan bahawa anaknya yang disangka mati mungkin masih hidup.

Dalam kejadian itu, Xiaoyun yang menyangka dia mengandung empat bulan, mengadu sakit perut sebelum mengalami pendarahan teruk semasa sedang bekerja di ladang. Dia kemudian menghubungi suaminya supaya bergegas pulang ke rumah sebelum Yong menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah selepas melahirkan anak mereka yang dipercayai telah mati dan terus menghubungi ambulans.

Sejurus tiba di hospital, kakitangan bertanyakan bayi pasangan itu, namun mereka mendakwa anak mereka telah mati sebelum doktor menasihatkan mereka membawa anak mereka untuk diperiksa kerana bayi itu mungkin masih hidup. Yong bergegas ke rumah dan dimaklumkan oleh ibu mertuanya bahawa dia sudah menanam cucunya sebelum Yong menggali semula lubang berkenaan bagi mendapatkan anaknya.

Dia yang mendapati anak perempuannya masih bernafas segera membawa bayi itu ke hospital dengan doktor memaklumkan bahawa anaknya telah berada dalam kandungan ibunya selama enam bulan dan bukan empat bulan seperti yang disangka mereka.

Bayi itu hanya menerima rawatan di hospital selama tiga hari kerana masalah kewangan dihadapi keluarga berkenaan, namun orang ramai bertindak menghulurkan bantuan yang membolehkan bayi itu mendapatkan rawatan semula. “Ibu mertua saya menghidap penyakit kronik dan saya juga mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia tujuh tahun. Hanya saya yang menanggung keluarga,’’ katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-ditanam-8232-dua-jam-masih-hidup-1.34230#sthash.9hAV53aC.dpuf

No comments: