Monday 2 June 2014

Bapa biar anak mati kelaparan


TOKYO - Polis Jepun menahan seorang lelaki selepas rangka manusia dipercayai anak lelakinya yang berusia lima tahun ditemui di dalam sebuah apartmen bertahun-tahun selepas mangsa meninggal dunia, menurut beberapa laporan semalam.

Menurut laporan pihak berkuasa, polis menahan pemandu trak, Yukihiro Saito kerana didakwa tidak memberi anaknya, Riku makan sehingga mangsa mati kebuluran pada penghujung 2006 hingga awal 2007.

"Rangka mangsa itu ditemui di dalam sebuah apartmen yang dipenuhi sampah sarap di bandar Atsugi, dalam wilayah Kanagawa, barat daya bandar raya ini pada Jumaat lalu," kata polis.

Penemuan itu dibuat selepas sebuah pusat kebajikan tempatan membuat laporan polis pada Mei lalu selepas Riku tidak hadir ke sebuah sekolah menengah rendah yang tercatat namanya pada tahun ini.

Saito pernah tinggal di apartmen itu bersama isteri dan anak lelakinya tetapi wanita tersebut dilaporkan meninggalkan mereka pada 2005.

Dia kemudian mula mengabaikan anak lelakinya. Saito menemui Riko dalam keadaan tidak bernyawa apabila dia pulang ke rumah pada suatu hari.

"Dia kemudian melarikan diri kerana takut," kata polis.

Menurut polis, pemandu trak itu masih membayar sewa apartmen berkenaan walaupun dia telah berpindah ke tempat lain.

Rangka anak lelakinya itu ditinggalkan di dalam apartmen tersebut sejak lebih tujuh tahun lalu.

Mangsa pada tahun ini berusia 13 tahun.

- AFP/Kosmo

No comments: