Monday 9 June 2014

200 disembelih 'Boko Haram'


Maiduguri: Militan Boko Haram yang memakai seragam tentera membunuh sekurang-kurangnya 200 penduduk di tiga buah kampung di timur laut Nigeria.

Saksi semalam berkata, tentera gagal menangani perkara itu walaupun amaran mengenai serangan berkenaan sudah diberikan lebih awal.

Seorang pemimpin masyarakat yang menyaksikan pembunuhan itu berkata, penduduk di daerah Gwoza merayu agar tentera menghantar pasukan bagi melindungi kawasan itu selepas mendapat tahu rancangan militan terbabit.

Namun, katanya, tentera tidak muncul.

Pembunuhan berlaku di kawasan Danjara, Agapalwa dan Antagara.

“Kami menyangka mereka adalah pasukan tentera yang memberi bantuan,” katanya.

Dia bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri.

Kumpulan Boko Haram tiba dengan kenderaan pacuan empat roda dan memberitahu penduduk kampung kononnya mereka adalah pasukan tentera yang datang memberikan bantuan.

Taktik sama digunakan mereka ketika menculik lebih 300 pelajar perempuan dari sebuah sekolah di Chibok pada 15 April lalu.

Saksi berkata, selepas penduduk berkumpul, mereka mula melepaskan tembakan sehingga semua yang berada di situ mati.

Kejadian kejam itu disahkan Senator Mohammed Ali Ndume yang mewakili wilayah Borno dan seorang pegawai kanan keselamatan yang dirahsiakan identitinya.

Maklumat mengenai kejadian itu disampaikan mereka yang terselamat selepas beberapa hari ia berlaku kerana perjalanan dari kawasan berkenaan ke Maiduguri sangat berbahaya dan tiada talian telefon.

- AP

No comments: