Monday 19 May 2014

Rakyat tolak gaji minimum RM14,494 sebulan


ZURICH - Penduduk Switzerland mengundi untuk menolak gaji minimum tertinggi di dunia dalam satu pungutan suara yang diadakan semalam.

Keputusan pungutan suara itu mendapati 64 peratus pengundi menolak cadangan untuk memperkenalkan gaji minimum sebanyak 22 franc Switszerland (RM79) sejam yang diusulkan oleh dua parti politik negara itu.

Referendum semalam merupakan antara inisiatif yang akan diputuskan oleh rakyat dalam usaha menangani jurang ekonomi yang semakin luas di Switzerland.

Pada masa ini, Switzerland tidak mempunyai peraturan gaji minimum.

Upah yang diterima ditentukan menerusi kontrak pekerja dengan pihak majikan.

Para penyokong cadangan gaji minimum itu memberi alasan bayaran tersebut yang mencecah 4,000 franc (RM14,494) sebulan akan dapat mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan para pekerja dapat menjalani kehidupan yang memuaskan.

Namun, para pengkritik memberi amaran langkah tersebut akan menjejaskan persaingan dan majikan yang boleh membawa kepada pemotongan peluang pekerjaan.

- Reuters/Kosmo

No comments: