Friday 2 May 2014

Puluhan rakyat Malaysia ke Syria

SEORANG bekas pemuzik kumpulan rock terkenal (duduk kiri) bergambar bersama dua pejuang tentera pemberontak dipercayai di Syria.

KUALA LUMPUR 30 April - Puluhan rakyat Malaysia dikatakan pergi ke Syria sejak dua tahun lalu atas nama perjuangan ‘jihad’ bagi membantu umat Islam di negara bergolak itu termasuk seorang ‘ustaz’ militan yang ditangkap pihak berkuasa Ahad lalu.

Yang turut menyertai ‘ustaz’ berkenaan ialah seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada tahun 90-an.

Malah lebih mengejutkan ada antara rakyat Malaysia yang ke sana dipercayai terbunuh dalam pertempuran yang boleh dikaitkan sebagai pepera­ngan saudara di negara tersebut.

Sumber keselamatan mendedahkan, segelintir rakyat Malaysia dikesan pergi ke Syria setelah terpengaruh de­ngan dakyah pihak tertentu kononnya mereka boleh mati syahid di negara berkenaan.

Kata beliau, kerajaan sama sekali tidak membenarkan rakyat Malaysia mencampuri urusan negara lain dan berikutan itu, rakyat negara ini yang ke sana dan jika terbukti bersalah, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut sumber itu, siasatan polis percaya mereka yang terlibat mempunyai kaitan dengan 10 individu dipercayai ahli kumpulan militan yang ditahan polis dalam operasi khas di Kedah dan Selangor, pada 27 April lalu dan semalam.

“Kita percaya kesemua mereka itu menyasarkan untuk berjihad ke Syria setelah terpengaruh dengan dakwaan yang mengatakan Presiden negara berkenaan iaitu Bashar al-Assad menindas para ulama.

“Bagaimanapun kumpulan itu tidak sedar, pemberontakan tersebut adalah tajaan pihak Barat untuk menjatuhkan Bashar kerana menyokong Iran dan menentang Israel," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber tersebut, siasatan turut mendapati rakyat negara ini yang ke Syria dilatih secara ala tentera termasuk dipercayai menggunakan senjata api sebelum berlepas ke negara berkenaan.

Kata beliau, kumpulan berkenaan kemudian dipercayai akan menaiki penerbangan sama ada ke Turki, Jordan dan Lebanon sebelum ke Syria kerana Malaysia tidak mempunyai penerbangan terus ke negara tersebut.

“Di Syria, kumpulan ini akan berhubung dengan puak penentang kerajaan sebelum menyertai mana-mana pertempuran yang sehingga kini meragut puluhan ribu nyawa dan jutaan menjadi pelarian," katanya.

Sumber itu seterusnya berkata, pihak berkuasa kini sedang memburu saki-baki ahli kumpulan terbabit yang merancang untuk ‘berjihad’ di Syria bagi menyekat kegiatan mereka.

Pada 27 April lalu, polis menahan sembilan individu dipercayai ahli sebuah kumpulan militan dalam beberapa serbuan di Selangor dan Kedah.

Polis kemudian menahan seorang wanita pada keesokannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.

Utusan Malaysia hari ini turut mendedahkan satu laman sosial video Youtube berhubung kegiatan seorang ‘ustaz’ yang pergi ke Syria untuk ‘berjihad’.

-Utusan

No comments: