Wednesday 21 May 2014

Anita buat ribut solat di jalan


KETIKA ramai daripada kita menumpukan perhatian kepada isu pilihan raya kecil di Teluk Intan dan Bukit Gelugor 17 Mei lalu, seorang wanita dari seberang bikin segelintir pengguna jalan raya di Kuala Lumpur jadi kaget.

Membaluti dirinya dengan telekung, wanita berusia 27 tahun yang mengenalkan dirinya sebagai Anita itu, menghampar sejadah di tepi jejambat dekat Dewan Bahasa & Pustaka, lalu bersolat dan membaca al-Quran.

Padanya itu perkara biasa sebab memang lumrah baginya ‘solat di mana sahaja’ sejak dia insaf selepas mendapat hidayah melalui alamat mimpi, tapi dia tidak perasan dia sudah mencetus kekalutan dalam kalangan pengguna jalan raya. Gambar polis mengawal lalu-lintas ketika dia bersolat pun sudah jadi viral di laman sosial.

Nasib baiklah dia tergerak hati bersolat atas jejambat di Jalan Maharajalela pada jam 1.30 petang pada hari Sabtu. Bayangkan kalau dia lakukannya di kawasan lebih sibuk seperti Chow Kit, Pudu, Ampang dan Bukit Bintang.

Betapa heboh dan kalut jadinya apabila pengguna jalan raya bertolak untuk menyaksikan apa yang berlaku.

Biasalah; seorang hamba ALLAH yang tersepuk di sebelah motosikalnya yang terbalik di tepi lebuh raya atau kereta yang enjin berasap sudah cukup untuk mengakibatkan kenderaan merangkak berbatu-batu hanya kerana ramai yang hulur leher keluar tingkap macam kren, mahu tahu apa berlaku.

Betapa pula kalau wanita yang suka ‘solat di mana sahaja’ itu tiba-tiba tergerak hati untuk bertelekung dan menunaikan solat di tempat sunyi di tengah malam. Tak tahulah berapa banyak motosikal terbabas kerananya!

Sebenarnya solat di mana-mana sahaja bukan satu masalah di muka bumi ini.

Kalau di London, contohnya, di sebabkan masjid dan surau tidak banyak, setiap waktu Zohor, Asar dan Maghrib, anda lihat ramai yang solat - berjemaah lagi - di Hyde Park. Tiada yang persoalkan pun.

Di setengah tempat, bukan sekadar di tepi jalan; ada yang sampai solat di atas but kereta atau pembahagi jalan. Tetapi perlu guna budi bicara juga.

Saya pernah tergerak mahu angkat kaki ke dalam singki ketika ambil wuduk di bilik air lapangan terbang Moscow, tapi tiba-tiba tak jadi kerana terlintas di fikiran; kalaulah dilihat polis Rusia ketika kaki saya dalam singki, apa saya nak jawab, sedangkan bahasa pertuturan kami seperti antara ayam dan itik.

Nasib tak baik, kena tahan di lokap kerana disyaki panjat tembok hingga pihak kedutaan datang beri penjelasan.

Di Perth, Australia, pada suatu ketika dahulu, ada beberapa rakan tunaikan solat atas koc hingga buat kening pemandunya (yang bukan Islam) berkerut. Tak apalah; moga menjadi asbab turunnya hidayah.

Di Malaysia, kalau hal berkaitan ibadah, tiada masalah. Orang yang mahu menyegerakan solat hanya perlu bertanya; anda akan dapati ada sahaja tempat berdekatan untuk bersolat.

Sebut sahaja; di terminal bas, stesen minyak, pusat beli-belah, hotel dan kawasan rehat. Kalau anda tidak berat mulut, dalam kapal terbang pun sebenarnya ada ruang khas untuk seorang dua menunaikan solat macam biasa.

Terlanjur cerita hal masjid, beberapa hari lalu saya terima panggilan seorang hamba ALLAH dari Butterworth. Dia mengadu, ramai kariah sudah lari dari sebuah masjid di situ kerana orang yang diberi tugas laungkan azan dan jadi imam di situ tidak sebut ayat dengan betul.

Katanya, ada yang sudah berulang kali mengadu hingga ke jabatan agama dalam tempoh hampir lima tahun. Kalau betul sesuatu perlu dilakukan.

Balik kepada cerita wanita tadi, dia dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee dan kemudian ke unit psikiatri Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan. Apa keputusannya ya!

-Sinar

No comments: