Thursday 28 November 2013

Dunia oh dunia : Bayi ditanam hidup-hidup


MIRI 27 Nov. - Seorang bayi yang cukup sifatnya dipercayai menjadi mangsa individu tidak berperikemanusiaan apabila ditanam hidup-hidup di sebuah ladang kelapa sawit di Batu Niah, di sini semalam. Mayat bayi cukup sifat dan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan itu ditemukan seorang pengawal keselamatan kira-kira pukul 3.30 petang. Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Jonathan Ringgit berkata, pengawal keselamatan tersebut mendakwa ternampak kelibat seorang lelaki dan wanita membawa bungkusan plastik dalam keadaan mencurigakan. "Dia terdengar tangisan bayi lalu bertindak mengintip pasangan tersebut yang dilihat seperti mengorek dan menanam sesuatu berdekatan pagar ladang. "Sebaik sahaja mereka beredar, pengawal itu segera memeriksa kawasan tersebut dan terkejut apabila melihat bahagian kaki bayi terjulur keluar dari tanah yang baru ditimbus," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. Menurut Jonathan, pengawal keselamatan itu terus memaklumkan penemuan tersebut kepada majikannya sebelum mereka menghubungi pihak polis. "Pemeriksaan lanjut mendapati bayi malang berkenaan sudah tidak bernyawa. Memandangkan saksi mendakwa terdengar bunyi tangisan, bayi itu mungkin dilemaskan terlebih dahulu atau ditanam secara hidup-hidup oleh suspek," katanya. Tambah Jonathan, pihaknya sedang mengesan pasangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. "Saya minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya. -Utusan

No comments: