Monday 25 November 2013

Anggap kerja sebagai sedekah suntik semangat


Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Perkhidmatan cemerlang lagi berkualiti adalah matlamat umum yang perlu dicapai setiap organisasi. Tidak syak lagi matlamat ini akan tercapai hanya jika setiap warganya turut mempunyai matlamat yang sama khasnya dengan kedatangan tahun baru hijrah. Namun, dalam melaksanakan tugas seharian sebagai pekerja kita juga tidak dapat lari daripada berhadapan dengan emosi diri yang lemah dan motivasi yang rendah walaupun berada dalam suasana kerja yang baik dengan imbuhan memuaskan. Kajian semasa menunjukkan pelbagai faktor dalaman dan luaran boleh menyumbang kepada timbulnya sifat negatif di tempat kerja. Ini termasuk faktor kesihatan, interaksi, komunikasi, persekitaran, kemudahan pejabat dan faktor sikap. Adakalanya pekerja berasa malas dan kurang bersemangat untuk menunaikan amanahnya. Justeru, satu daripada kaedah dan pendekatan Islam untuk mengatasinya ialah dengan menghayati kerja atau perkhidmatan itu sebagai suatu sedekah. Kefahaman yang jelas serta penghayatan mendalam terhadap ‘sedekah perkhidmatan’ ini mampu menyuntik malah mengembalikan semangat bekerja dalam diri agar memberi perkhidmatan terbaik. Balasan infak keringat Kefahaman ini adalah bertitik-tolak daripada Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh biji benih, pada tiap-tiap satunya seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. Walaupun ayat ini menunjukkan balasan Allah SWT kepada mereka yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT, namun ulama juga mengaitkan balasan ini dengan apa juga bentuk harta termasuk harta badaniyyah daripada usaha dan keringat. Bentuk sedekah dalam Islam bukan semata-mata pada harta dan wang ringgit, tetapi meliputi pelbagai tindakan bermanfaat. Ini termasuk usaha daripada titik peluh sendiri, menyampaikan kata-kata yang baik termasuklah ucapan salam, memberi nasihat, penghargaan dan pujian, menyampaikan teguran dengan berhikmah, mendoakan orang lain, membuat kebaikan dengan mententeramkan orang lain, membawa berita menggembirakan, memudahkan sesuatu urusan, tolong- menolong, memberikan pandangan, membantu dengan memberikan jalan penyelesaian serta menampilkan wajah yang manis dengan senyuman. Dari Abu Zar al-Ghifari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjukkan seseorang yang sesat adalah sedekah dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah” (Riwayat al-Bukhari) Justeru, dengan memahami bahawa semua amal kebaikan sebagai sedekah akan menambah lagi motivasi diri. Tetapi dengan syarat piawaian bahawa ia tidak dirosakkan nilainya dan menghilangkan ganjarannya di sisi Allah SWT iaitu dengan mengungkit, menyakiti hati dengan kata-kata kasar atau kesat, merendah rendahkan penerima atau pelanggan atau kerja dan perkhidmatan yang dilakukan tanpa keikhlasan iaitu untuk kemegahan dan kesombongan. Keredaan Allah Sebaliknya, hendaklah apa yang diusahakan itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah SWT seperti yang digambarkan dalam Surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud: “Orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” Secara mudahnya juga, piawaian bagi perkhidmatan terbaik itu boleh direnungi melalui Athar yang menyebutkan bahawa “berkhidmatlah untuk manusia sebagai mana kamu suka orang berkhidmat ke atas kamu”. -BH

No comments: