Wednesday 31 July 2013

Dr. Zahazan : Syiah Ejen Yahudi Hancurkan Islam

by AIDC

KUALA LUMPUR – Syiah bukan sahaja tidak diiktiraf sebagai Islam, malah kemunculan fahaman itu dianggap sebagai ejen Yahudi bertujuan menghancurkan umat Islam.

Pendakwah bebas, Dr. Zahazan Mohamed berkata, fahaman itu dibawa oleh seorang Yahudi bernama Abdullah bin Saba’ ketika keadaan politik tidak stabil di zaman pemerintahan khalifah keempat, Saidina Ali bin Abi Talib.

Jelas beliau, Abdullah yang berasal dari Yaman itu sentiasa mencari jalan untuk mewujudkan perselisihan sesama orang Islam sendiri, antaranya mewujudkan kumpulan penyokong yang begitu taksub terhadap Ali.

‘Susur galur Syiah bermula pada zaman Umar bin al-Khattab diikuti Uthman bin Affan dan kemuncaknya pada zaman Ali.

“Yahudi kemudian datang mencari helah untuk memecahbelahkan umat Islam dengan mengambil kesempatan dalam peristiwa fitnah pembunuhan Khalifah Usman yang dibunuh oleh orang Islam sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Namun begitu menurut Zahazan, Saidina Ali sendiri pada ketika itu tidak suka orang yang begitu mendewa-dewakannya sehingga beliau bertindak membakar mereka.

Menurut Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd. itu, apabila melihat kepada kemarahan Khalifah Ali memerangi golongan yang mendewa-dewakannya, Abdullah lari ke Parsi untuk menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan Islam itu.

Katanya, Parsi dilihat sebagai tempat yang mudah untuk tujuan penyebaran Syiah kerana kemasukan Islam ke negara itu adalah secara peperangan sehingga menyebabkan penduduk di situ terpaksa menganut Islam.

“Apabila Abdullah membawa satu fahaman agak lain daripada Islam yang mendewa-dewakan Ali melebihi lain, ini menjadi satu perkara baik dalam usaha mendapatkan sokongan di Parsi.

“Syiah pada asalnya bukan satu ajaran yang ada kekuatan terutama pada kemuncak ilmu dan ketamadunan zaman Islam kerana bertentangan dengan fitrah manusia,” katanya.

Zahazan berkata, peristiwa penguasaan Yahudi terhadap negara-negara Islam yang berlaku sejak akhir-akhir ini mempunyai kaitan dengan perancangan Yahudi dengan mentauliahkan golongan Syiah.

Katanya, Iran yang mempunyai ramai penganut Syiah mendapat suntikan dana pelaburan daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS).

“Iran membuka laluan kepada AS untuk menyerang Afghanistan kerana di situ adalah kubu kuat golongan sunni dan negara itu mesti dimusnahkan kerana dakwa mereka merupakan pembekal tentera mujahidin Islam.

“Peristiwa yang berlaku di Syria juga sebagai bukti betapa Syiah ingin menguasai negara itu walaupun hanya sekadar mempunyai 30 peratus populasi,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, penularan Syiah di Malaysia amat berbahaya sekiranya isu itu tidak dititikberatkan oleh semua pihak.

Katanya, semua pihak perlu sedar bahawa golongan tersebut sentiasa menggunakan sentimen emosi untuk memperdayakan umat Islam.

“Orang yang jahil dan lemah akan terpengaruh apabila mereka ‘menjual produknya’ dengan kahwin muta’ah (kahwin kontrak), sembahyang hanya tiga waktu dan boleh dijamakkan.

“Walaupun Syiah disebut dalam al-Quran sebanyak 12 kali tetapi itu tidak merujuk kepada kumpulan penyokong taksub kepada Ali kerana kitab suci itu turun sebelum terjadi fitnah itu. Maka adalah salah dakwaan mereka bahawa Syiah dibenarkan, dihargai dan dipuji dalam al-Quran,” katanya – Utusan

No comments: