Friday 12 July 2013

DAP Gesa Lima Negeri Ubah Enakmen Pentadbiran Agama Islam

by                      
 
DAP hari ini tampil menggesa lima kerajaan negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam selaras dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013.
 
Timbalan Bendahari DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming dilaporkan Mstar berkata pindaan tersebut perlu dilakukan segera pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Kedah, Perak, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.
 
“Kita gesa lima kerajaan negeri (Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Melaka dan (Sarawak) ambil tindakan sewajarnya untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam ini segera demi kepentingan awam.
 
“Kita tidak boleh ada dua sistem undang-undang yang berbeza apabila Kerajaan Pusat telah bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang berkenaan. Ini akan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Lobi Parlimen, Khamis.
 
Sehubungan itu, Kor Ming yang turut dilaporkan Roketkini akan memohon Jabatan Peguam Negara agar menasihati lima kerajaan negeri terbabit meminda enakmen masing-masing supaya seragam dengan Wilayah Persekutuan yang mana mentakrif ‘ibu-bapa’ seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Enakmen di lima negeri berkenaan diluluskan antara 2001 dan 2008. Undang-undang Islam negeri menyatakan bahawa bukan Islam berumur 18 tahun dan ke bawah boleh memeluk agama Islam dengan persetujuan seorang daripada ibu atau bapa.
 
Kor Ming menegaskan, enakmen sebaliknya pula dipraktikkan di Selangor, Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Perlis dan Johor, yang memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa bukannya seorang daripada mereka.
 
“Jadi saya ingin bertanya, mengapa boleh ada dua sistem dalam satu negara? Seperti kes ini?,” soalnya.
 
Katanya lagi, enakmen di lima negeri itu boleh dianggap salah kerana tidak mengikut Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama seseorang kanak-kanak itu perlu diputuskan oleh kedua-dua ibu bapa.
 
Kor Ming berkata perkara itu perlu dilihat secara serius kerana ada di antara bapa apabila menceraikan isteri cenderung menukar agama diri dan anak mereka bagi mengelak membayar nafkah kepada isteri.

No comments: