Thursday 11 July 2013

5 peguam, aktivis berjaya saman polis

KUALA LUMPUR  - Lima peguam dan seorang aktivis hari ini berjaya dalam kes saman yang dikemukakan terhadap polis dan kerajaan Malaysia setelah mendakwa mereka ditahan secara salah ketika menyambut Hari Hak Asasi Sedunia, enam tahun lalu.
 
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk John Louis O'Hara membenarkan tuntutan saman keenam-enam plaintif itu dan memerintahkan kerajaan dan tiga pihak lagi membayar ganti rugi RM10,000 kepada setiap plaintif dan ganti rugi khas RM5,454 kepada salah seorang daripada mereka serta kos RM60,000.
 
Dalam penghakimannya, Hakim O'Hara berkata, melalui rakaman video ketika kejadian, mahkamah mendapati, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu, Supritendan Che Hamzah Che Ismail memberi arahan yang bercanggah dan tidak tetap melalui alat pembesar suara ketika menyuraikan perhimpunan itu.
 
Menurut beliau, Che Hamzah mengeluarkan arahan yang menyebabkan semua plaintif mempercayai yang mereka mempunyai masa 10 minit untuk berjalan dalam perarakan itu sebelum bersurai.
 
Kata beliau, plaintif turut dinafikan hak untuk mendapatkan akses kepada peguam, sehubungan itu, mahkamah mendapati penahanan ke atas mereka dibuat secara salah dan tidak sah.
 
Kesemua plaintif didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Disember 2007 atas tuduhan menyertai perhimpunan haram 'People's Freedom Walk' sempena Hari Hak Asasi Manusia serta menghalang penjawat awam daripada menguatkuasakan undang-undang.
 
Plaintif-plaintif merupakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran; Ketua Biro Hal Ehwal Guaman PKR, Latheefa Koya; peguam Eric Paulsen; peguam Amer Hamzah Arshad; dan aktivis Johny Andu @ Abu Bakar Adnan.-Utusan

No comments: