Monday 17 June 2013

Syiah jika berkembang akan tindas Sunni, kata PAS Kelantan

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR,- Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan kebimbangan penganut majoriti Sunni di Malaysia bakal ditindas sekiranya pengikut mazhab Syiah dibiarkan berkembang dalam negara.

Mohd Amar menegaskan walaupun terdapat sebilangan pengikut Syiah dibenarkan untuk mengamalkan mazhab tersebut, hakikatnya mazhab Sunnah Wal Jamaah adalah majoriti di Malaysia dan status tersebut perlu dipertahankan serta dikekalkan. "Kita tidak boleh biarkan fahaman Syiah berkembang dengan bebas, walaupun kita hormati pegangan dia, tapi dalam konteks masyarakat kita di Malaysia, pada pandangan kita, kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan sendiri, pegangan kita adalah Sunnah Wal Jamaah," kata Mohd Amar yang dipetik berkata dalam akhbar harian Utusan Malaysia hari ini.

"Kumpulan Syiah ini apabila mereka diatas, mereka menekan orang-orang Sunni," kata beliau lagi. Menurut timbalan pesuruhjaya III PAS negeri Kelantan itu lagi, PAS merupakan sebuah parti yang mengamalkan mazhab Sunnah Wal Jamaah dan tidak akan membiarkan pengaruh Syiah berkembang dalam parti itu sendiri.

"Pegangan PAS adalah Sunnah Wal Jamaah, bukan Syiah," tegasnya lagi. Mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengeluarkan fatwa dengan mengenakan larangan dan sekatan terhadap mana-mana mazhab selain Sunnah Wal Jamaah untuk tidak menyebarkan fahaman dan ajaran mereka di Malaysia.

Pada 2010, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan kira-kira 200 pengikut dan dua ketua kumpulan pengikut mazhab Syiah di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan dan menyampaikan ajaran menyeleweng.

Selain itu, tokoh agamawan bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga pernah ditahan sekitar tahun 2009 semasa sedang memberi syarahan oleh JAIS dan dituduh cuba menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kepada pengikutnya.

Di Malaysia, masyarakat Melayu yang membentuk 60 peratus daripada keseluruhan penduduk berjumlah 28 juta orang ditakrifkan dalam Perlembagaan sebagai penganut agama Islam, maka dengan itu agama dan kaum adalah isu yang tidak dapat dipisahkan didalam negara.

Kebebasan agama termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dibawah Fasal 11 menetapkan setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agama nya dan (tunduk pada undang-undang yang berlaku menyekat penyebaran agama-agama lain untuk umat Islam) untuk menyebarkannya. Kedua, Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama negara, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dalam damai dan harmoni (Perkara 3).- The Malaysian Insider

No comments: