Friday 17 May 2013

Tanggung azab tiga hari

Petaling Jaya: Seorang wanita warga Sri Lanka yang baru tiba di Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah terpaksa menempuh azab apabila bukan saja dikurung dan tidak diberi makan selama tiga hari, malah turut dipukul ejennya.

Bagaimanapun, mangsa berusia 34 tahun itu berusaha menyelamatkan diri dengan meminta pertolongan melalui tingkap sebuah premis tempatnya dikurung sebelum jeritannya didengari orang awam yang kemudian menghubungi polis dalam kejadian Selasa lalu.

Menurut sumber, mangsa baru tiba di negara ini untuk bekerja sebagai pembantu rumah menerusi khidmat satu agensi pekerjaan di Pelangi Damansara, di sini, pada 9 Mei lalu.

“Segala proses kemasukan mangsa ke Malaysia untuk bekerja diuruskan seorang ejen wanita dan mangsa dibawa ke premis agensi pekerjaan berkenaan sebelum dihantar kepada pelanggan yang memerlukan khidmat pembantu rumah.

“Sehari selepas tiba, mangsa dihantar ke sebuah rumah yang memerlukan khidmat pembantu, tetapi dia hanya bekerja dua hari sebelum dibawa semula ke premis agensi itu,” katanya.

Katanya, episod ngeri pembantu rumah itu bermula apabila dia dikurung sebaik pulang dari rumah itu, malah mangsa juga tidak diberi makan.

“Selain itu, ejen wanita terbabit turut mengambil barang kemas mangsa seperti rantai dan cincin serta telefon bimbit.

“Mangsa tidak mengetahui mengapa dia diperlakukan sedemikian dan bila ditanya, dia dipukul menyebabkan mangsa mendiamkan diri,” katanya.

Sumber berkata, ejen wanita terbabit turut meminta wang RM5,000 daripada mangsa kononnya sebagai bayaran untuk proses masuk ke Malaysia untuk bekerja.

“Mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang sebanyak itu kerana baru tiba dan tidak bergaji. Malah, mangsa juga sudah serik dan tidak mahu bekerja di negara ini serta meminta dihantar pulang ke negara asalnya.

“Namun, permintaan mangsa tidak diendahkan sebaliknya mangsa dikurung dalam sebuah bilik,” katanya.

Katanya, mangsa yang tidak tahan selepas turut tidak diberi makan bertindak nekad dengan cuba melarikan diri melalui tingkap, tetapi tidak berhasil membuka tingkap itu sebelum menjerit meminta tolong.

“Orang ramai yang melalui premis itu terkejut dengan jeritan mangsa dan menghubungi polis.

“Anggota polis yang tiba kemudian membantu mengeluarkan mangsa dengan memecah pintu premis dan mangsa dibawa ke Balai Polis Damansara untuk membuat laporan,” katanya.

-Metro

No comments: