Friday 31 May 2013

Tanggal seluar, tinggal beg

Belaga: “Bukan saja meninggalkan beg pakaian, saya juga menanggalkan seluar jeans dipakai untuk menyelamatkan diri,” kata Emerita Benggau, 27, seorang daripada mangsa terselamat dalam tragedi bot ekspres karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan, Tanjung Giam, Bungan di sini. Dalam kejadian jam 8.30 pagi kelmarin itu, bot ekspres yang dalam perjalanan ke Kapit dan Sibu itu dikatakan mengalami kerosakan selepas kipas enjin terkena sebatang kayu hanyut sebelum terlanggar batu besar menyebabkan bot yang sarat penumpang itu karam. Emerita dari Nanga Sut, Baleh berkata, tiada perkara lain dalam fikiran ketika itu selain mati, namun nekad mahu menyelamatkan diri dan enggan menyerah kalah sebelum berjaya keluar dari bot dan berenang ke tebing. “Walaupun tahu berenang, tetapi hampir lemas kerana tidak bertenaga apatah lagi arus sungai yang deras ketika itu menyukarkan saya berenang. “Malah, sebelum terjun saya terpaksa melupakan beg pakaian dan menanggalkan seluar jeans bagi memudahkan berenang untuk menyelamatkan diri,” katanya ditemui di rumah panjang Uma Tevok, di sini, semalam. Katanya, dia masih trauma dan masih terbayang saat bot itu ditenggelami air sebelum karam serta jeritan penumpang lain yang ketakutan. “Kalau ada pilihan pengangkutan lain seperti jalan darat dan udara, saya tidak teragak-agak menggunakan perkhidmatan itu walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi,” katanya. Berkongsi pengalaman sama, seorang lagi penumpang yang selamat, Along Bit, 42, dari Sungai Pagu, Kapit menyifatkan tragedi itu sebagai peristiwa sedih yang tidak akan dapat dilupakan seumur hidupnya apatah lagi ketika menjelang sambutan Gawai Dayak pada hujung minggu ini. “Kegembiraan meraikan Gawai Dayak bersama keluarga kali ini musnah sama sekali selain wang gaji RM4,000 untuk membeli barang keperluan sambutan perayaan itu turut hilang. “Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dalam nahas itu, namun sedih apabila mengetahui ada mangsa yang mungkin terkorban,” katanya. Dalam pada itu, Along yang bekerja di sebuah kem pembalakan di Belaga itu mengakui, bot ekspres terbabit sarat dengan penumpang yang mahu pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Gawai Dayak. “Kami tiada pilihan kerana terpaksa menggunakan bot ekspres itu untuk pulang ke rumah panjang. Jadual perjalanan perkhidmatan bot ekspres yang terhad menyebabkan ramai penumpang sanggup mengambil risiko duduk di atas bumbung bot kerana tidak mahu menunggu hari esok untuk meneruskan perjalanan,” katanya. Sehingga jam 6 petang semalam, operasi mencari dan menyelamat masih tidak menemui mangsa yang dilaporkan hilang.

No comments: