Tuesday 26 February 2013

Zalimnya seorang kakak

WANITA ini pangkat dua pupu dengan saya. Kami sebaya, sama sekolah dan saya rasa dia lebih pandai daripada saya, tetapi nasib tidak menyebelahinya, " cerita Norzahirah tentang kawan baiknya dalam e-mel dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini.

''Kini umur kami melewati 50-an tapi saya masih bekerja, sudah berumahtangga dan mempunyai anak, insya-Allah anak sulung saya akan berkahwin lepas raya nanti. Tetapi kawan saya ini sendirian
''Sudahlah Juwita atau Ju tak bekerja dan tidak berkahwin, hidupnya pada hemat saya dirundung malang.
''Ketika kami dalam tingkatan tiga dulu, emak Ju suruh dia berhenti sekolah untuk membantu kakaknya menjaga anaknya yang masih kecil ketika itu. Ju menolak kerana dia mahu bersekolah tetapi kakaknya datang memujuk kononnya sementara penjaga anaknya balik kampung secara mengejut. Janjinya cuti sekolah seminggu sahaja, lepas tu dia akan dihantar balik. Ketika itu Ju dalam tingkatan empat.
''Walaupun Ju membantah, tetapi dia tidak berdaya menolak pujukan kakaknya. Janji tinggal janji. Ju diberhentikan sekolah dan terus tinggal dengan kakaknya. Selepas itu hubungan kami terputus. Apa yang saya dengar, Ju ikut kakaknya pindah ke Sabah dan beberapa tahun kemudian, kami terserempak ketika dia mengikut kakaknya tinggal di Johor.
"S ekali-sekala kami bertemu pada hari raya di rumah emaknya dan ketika kenduri kahwin kakak dan adik-adik Ju. Kami pernah berbual di telefon tetapi bukan selalu sebab setelah tamat sekolah, saya sibuk dengan pengajian di universiti dan seterusnya menjadi pendidik.
''Kerana sibuk dengan hal peribadi, kami langsung tidak berkesempatan bertemu. Hubungan kami boleh dikatakan terputus terus terutama setelah ibu Ju meninggal dunia. Ju tak balik ke kampung terus selepas itu. Begitu juga adik-beradiknya.
''Nak jadikan cerita , tiga tahun lalu ketika bersama anak-anak ke kompleks beli-belah, saya terserempak dengan Ju berjalan dengan kakak dan anak saudaranya. Kami tak sempat berbual panjang, sebab suami anak saudaranya menunggu di kereta, tetapi saya sempat beri kad nama kepada Ju dan berpesan supaya telefon bila-bila masa, sebab saya rindukannya. Maklumlah kami kawan rapat masa sekolah dulu.
Minta izin''Satu hari saya terima panggilan Ju. Kerana tidak puas berbual di telefon, saya mengajaknya ke rumah, kalau boleh saya mahu dia bermalam di rumah saya. Kata Ju dia tidak pernah tinggalkan rumah kakaknya sebab dia sibuk, tetapi dia akan cuba minta izin keluar kerana ingin sangat jumpa saya.
''Pada hari yang Ju tetapkan saya ke rumah kakaknya. Sambil menunggu Ju bersiap, saya berbual dengan kakaknya, dua pupu saya juga. Pesannya saya mesti hantar Ju balik esok pagi, sebab esok anak-anaknya nak datang rumah, siapa nak siapkan makan minum mereka, kerana dia tak larat nak buat kerja sendiri. Ju perlu membantunya.
''Kami berbual panjang, saya terkejut bila Ju beritahu dia berhenti sekolah, jika tidak kakaknya tak beri emaknya duit lagi setiap bulan. Sebenarnya dia mengikut kakaknya berpindah ke Sabah untuk menjaga anak kakaknya. Cerita tentang penjaga bercuti mengejut semuanya bohong, yang benar kakaknya bawa Ju terus ke Sabah.
''Sampai di Sabah, bukan senang nak balik ke Semenanjung, sebab itulah hubungan kami terputus. Sejak itu Ju tak bersekolah. Kata Ju dia pernah terfikir hendak lari dari rumah kakaknya, tetapi dia kesiankan kakaknya tak ada pembantu dan dia takut emaknya tak dapat duit bulanan daripada kakaknya. Kerana emaknya memerlukan duit untuk membiayai sekolah kakak dan adik-adiknya yang sedang belajar.
''Secara tidak langsung Ju jadi pembantu rumah kakaknya. Daripada anak seorang sampailah kakaknya melahirkan tiga anak lagi. Sambil menangis Ju menceritakan dia bercita-cita jadi pendidik, tetapi semuanya tinggal kenangan. Kini Ju bukan sahaja uruskan makan minum keluarga kakaknya, malah menjaga dua cucu kakaknya.
''Ju pernah minta izin balik kampung, tetapi kakaknya tak benarkan, alasannya rumah kampung dah roboh, lagipun siapa nak jaga Ju.
''Masalahnya kata Ju, dia sudah tua dan terlalu penat. Dia mahu bebas daripada uruskan anak-anak kecil. Dia ingin hidup sendirian walaupun di kampung. Kalau dia ada banyak duit, dia pasti balik kampung. Sayangnya duit simpanannya tak sampai RM10,000 walaupun sudah 35 tahun jadi 'orang gaji' kakaknya. Ini yang amat menyedihkannya.
''Kata Ju lagi dia pernah berbincang dengan kakaknya supaya buatkan dia rumah kecil di kampung, tapi kakaknya bagi alasan tak ada duit selepas bersara, lagipun dia perlu bayar ansuran rumah dan kereta manakala anaknya masih belajar dan perlukan wang.
''Cerita Ju lagi dia tak pernah berkahwin. Walaupun pernah beberapa kali orang ingin melamarnya tetapi kakaknya tolak dengan pelbagai alasan. Kata kakak, kalau saya kahwin orang Sabah alamat tak balik Semenanjunglah. Ada juga yang tak layak kerana gaji kecil, tak ada kerja tetap dan macam-macam lagi. Akhirnya Ju patah hati nak kahwin setelah berusia 45 tahun.
''Kata Ju lagi, kalau dia kerja kilang pun tentu simpanannya dah banyak ketika ini. Tapi sekarang nak buat rumah pun tak cukup, apa lagi belanja perubatan kalau masuk hospital. Memikirkan masalah itulah dia terpaksa terus tinggal dengan kakaknya.
''Apa yang merisaukannya ke mana dia hendak menumpang jika kakaknya meninggal dunia. Adakah anak-anak saudara yang dia besarkan itu sanggup menjaganya atau membiayai bil hospital jika dia jatuh sakit? Sedangkan untuk menjaga ibu sendiri anak-anak saudaranya malas, inikan pula untuk menjaganya yang dianggap sebagai pembantu rumah.
''Malam itu kami bersembang hingga pukul 3 pagi. Esoknya, 4 petang baru saya hantar Ju balik. Masam muka kakaknya. Itulah kali pertama dan terakhir Ju dapat keluar berjumpa saya, selepas itu kami hanya berbual di telefon. Saya amat simpati dengan Ju tapi apakan daya. Saya berazam bawa Ju tinggal di rumah saya bila-bila dia perlu walaupun ketika dia jatuh sakit.'' Itu cerita Norzahirah panjang lebar tentang nasib kawan baiknya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130224/ke_02/Zalimnya-seorang-kakak#ixzz2Lxo9rOG1
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: