Friday 22 February 2013

Yustince kini ada hidung baharu

KIRI: Gambar Yustince Kehilangan hidungnya selepas dipotong oleh suaminya. KANAN: Gambar selepas Yustince mengenakan hidung palsu yang dibuat oleh artis kesan khas Hollywood, Alec Gillis.
 

JAKARTA  - Seorang wanita Indonesia yang hidup tanpa hidung selama tiga tahun selepas dipotong oleh suaminya, kini memperoleh hidung palsu hasil ciptaan artis kesan khas yang memenangi anugerah Oscar.

Yustince, 30, yang diserang dengan ganas oleh suaminya ketika satu pergaduhan, terpaksa menyembunyikan kesan luka yang terbuka di bahagian mukanya itu dengan kain selama bertahun-tahun.

Namun, dia kini tidak lagi perlu menutup mukanya selepas Yayasan Grossman Burn, badan bukan kerajaan tentang penjagaan kesihatan, meminta artis kesan khas Hollywood, Alec Gillis membuatkannya hidung palsu.

Gillis terkenal dengan hasil solekan kesan khas untuk beberapa filem seperti Jumanji, Alien vs Predator dan Cast Away.

Dia membuat beberapa prototaip di studionya di Chatsworth, Los Angeles dengan menggunakan gambar serta ukuran muka Yustince dan menyesuaikan dengan warna kulitnya.

Beberapa hidung yang dibuatnya itu boleh digam terus ke muka, manakala yang lainnya boleh dilekatkan menggunakan magnet pada cermin mata.

Pengerusi Yayasan Grossman Burn, Dr. Rebecca Grossman berkata, dia telah berjumpa dengan Gillis selepas mendengar kisah sedih Yustince.

“Saya telah menemuinya dan bertanyakan sama ada dia boleh membuatkan hidung palsu untuk Yustince dan saya mendapat jawapan positif," katanya.

Grossman turut datang sendiri ke Indonesia untuk memberikan hidung palsu itu kepada mangsa dan menunjukkan cara memasang dan menanggalkannya.

Yayasan Grossman Burn sememangnya terkenal dengan hasil kerja kebajikannya di seluruh dunia dengan satu daripada pesakit mereka termasuklah gadis Afghanistan berumur 18 tahun yang dipotong telinga serta hidungnya oleh Taliban. - AGENSI



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130222/lu_08/Yustince-kini-ada-hidung-baharu#ixzz2LaPK9AWC
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: