JAKARTA - Majlis Ulama Indonesia (MUI) meminta kerajaan negara ini terus membenarkan amalan berkhatan bagi perempuan kerana ia merupakan hak yang dijamin oleh perlembagaan.
"Islam menganjurkan umatnya, lelaki dan perempuan, supaya berkhatan," kata timbalan setiausaha agung MUI Amrisyah, seperti yang dipetik agensi berita Antara.
MUI mengumumkan pendiriannya tentang perkara itu pada sidang akhbar di sini pada Isnin ketika Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) heboh berkempen untuk mengharamkan berkhatan bagi perempuan.
"MUI dan pertubuhan Islam lain di negara ini berpendirian tegas dalam menentang usaha mengharamkan berkhatan bagi perempuan," kata Amrisyah.
Bulan lepas, PBB meluluskan resolusi menggesa 193 negara anggotanya menguatkuasakan pengharaman berkhatan bagi perempuan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkhatan boleh menyebabkan wanita mengalami masalah membuang air kecil, pendarahan teruk dan komplikasi ketika bersalin. - Bernama/SH