Monday 24 December 2012

10 tahun merempat di AS

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


RASHID ditahan selama enam bulan di Fasiliti Tahanan Persekutuan Buffalo sebelum dihantar pulang pada Oktober 2010.

RASHID, 40-an, (bukan nama sebenar) pernah dianggap sebagai anak kampung yang bijak. Walaupun dibesarkan dalam keadaan serba sederhana, dia berjaya melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti terkemuka di Britain sekitar tahun 1980-an.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah memasang impian untuk pergi ke luar negara. Semuanya gara-gara terpengaruh dengan novel pengembaraan Inggeris karya Enid Blyton yang saya baca sejak kecil.

“Pantang ada masa lapang, saya akan baca buku siri pengembaraan ini walaupun terpaksa mengulang baca. Jalan ceritanya sangat menarik, malah saya selalu membayangkan saya menjadi watak utama dalam novel tersebut.

“Memandangkan saya dilahirkan dalam keluarga yang besar, hanya pelajaran yang boleh membawa saya ke luar negara. Disebabkan itu, saya jadi ulat buku.

“Selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya terpilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti di Britain. Masa itu terbayang semua cerita Enid Blyton dalam kepala,” selorohnya.

Selepas tamat pengajian di luar negara, Rashid kembali ke Malaysia dan bekerja di sini untuk beberapa tahun. Cerita Rashid, ketika itu, hidupnya sangat selesa. Selain diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan penting oleh majikan, dia juga berpeluang menunaikan impian ibu dan ayahnya.

“Dengan duit gaji dan sedikit wang simpanan, saya sempat memenuhi impian ayah untuk memiliki rumah sendiri dan menghantarnya menunaikan haji. Untuk adik-adik pula, saya bantu persekolahan mereka hingga masing-masing berjaya jejakkan kaki ke universiti.

“Dalam pada itu, timbul keinginan untuk hidup merantau. Sebaik sahaja adik-adik habis bersekolah dan kehidupan keluarga semakin selesa, saya membuat keputusan untuk mencuba hidup di luar negara. Destinasi pilihan saya, Amerika Syarikat (AS).

“Sambil melihat tempat orang, saya bercadang untuk mengikuti kursus jangka pendek di New York. Sekurang-kurangnya ada juga pengisian ketika berada di sana,” ujar Rashid.

Begitupun, perjalanan hidup lelaki ini berubah 360 darjah beberapa hari selepas dia tiba di negara Uncle Sam itu. Ketika dia sedang mandi di motel sewaannya, biliknya telah dipecah masuk.

Dokumen perjalanan dan semua wang tunai yang disimpan di beg pinggang lesap. Mujur juga ada baki wang belanja AS$20 (RM60) dalam poket seluarnya yang lain.

Ditempelak

Buntu dengan insiden yang menimpanya, Rashid terus pergi ke pejabat konsulat besar Malaysia di New York. Namun, harapannya untuk mendapatkan bantuan dan pembelaan dibalas dengan layanan yang cukup mengecewakan.

“Mereka memperlekehkan kes kehilangan pasport saya malah apabila saya bertanya tentang bantuan sara diri, jawabnya, mereka bukan badan kebajikan,” luah Rashid.

Demi kelangsungan hidupnya, Rashid terpaksa pindah keluar dari motel, mengikat perut dan menumpang tidur di masjid lebih kurang tiga minggu.

“Saya hanya mampu makan roti sekali sehari. Minum pula saya tadahkan botol di paip masjid. Lebih kurang dua ke tiga minggu kemudian, saya berjumpa dengan seorang warga Indonesia yang mempelawa saya tinggal dan bekerja sekali dengannya.

“Untuk menyara hidup, macam-macam pekerjaan yang saya lakukan. Rakan baharu saya itu membawa saya berjumpa dengan badan kebajikan Muslim yang memberikan saya sedikit wang.

“Sebahagian daripadanya saya gunakan untuk mendapatkan kerja daripada agensi mencari pekerjaan. Walaupun tiada pengenalan diri, saya masih boleh bekerja asalkan mendaftar dengan agensi ini,” katanya yang tinggal secara haram di AS selama 10 tahun sebelum ditahan dan dibawa pulang kira-kira dua tahun lalu.

Sepanjang sedekad tinggal di sana, banyak pengalaman yang dikutip dan sudah bermacam-macam kerja yang dilakukannya. 
 
“Saya tidak memilih kerja, asalkan pekerjaan itu halal. Saya jadi pembantu kedai, pelayan restoran, pencuci pinggan, pekerja kilang, buruh binaan, pekerja dobi dan banyak lagi.

Bogel

“Pekerjaan terakhir saya sebagai pengasuh yang menguruskan seorang jutawan penghidap strok.
“Saya gelarkannya King Mongkut. Orangnya baik, segak dan masih muda tatkala diserang strok. Saya senang bekerja dengannya malah dia ialah majikan saya yang paling lama.

“Saya bekerja dengan King Mongkut selama tiga tahun lebih sebelum ditahan pihak imigresen AS,” kata Rashid.

Bercerita tentang penahanannya, lelaki ini memberitahu, dia ditahan ketika menaiki kereta api untuk melawat rakannya di Niagara Falls.

Lokasi pusat pelancongan itu yang hampir dengan sempadan negara Kanada dikatakan menjadi sebab mengapa ramai pegawai imigresen bertugas di situ berbanding di bandar-bandar lain.

“Ketika ditahan, saya terus dibawa ke pejabat imigresen untuk disoal siasat. Memandangkan teknologi pengesanan mereka boleh mengesan sejarah kemasukan saya ke negara-negara asing sebelum tiba di AS, prosedur soal siasat menjadi bertambah rumit.

“Ini kerana sebelum saya pergi ke AS, saya telah pergi menunaikan umrah. Dari Mekah, saya pergi menziarah kakak saya yang tinggal di London sebelum kembali ke Mekah untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Kebetulan pula, ketika itu pihak keselamatan AS sangat sensitif dengan isu pergerakan radikal dan saya tidak terlepas daripada menjalani sesi soal siasat yang cukup panjang dan meletihkan.

“Ketika ditahan, kaki, tangan dan perut saya diikat dengan rantai besi. Saya juga disuruh mencangkung dalam keadaan bogel,” katanya.

Selepas didapati tiada kaitan dengan kegiatan pengganas, Rashid dihantar ke Kemudahan Tahanan Persekutuan Buffalo di Batavia, New York pada April 2010 sebelum dihantar pulang pada Oktober 2010.

Enam bulan dalam tahanan, banyak perkara yang Rashid belajar. Layanan yang diterimanya baik, malah dia dan rakan-rakannya yang beragama Islam bebas untuk beribadat.

“Saya teringat kata-kata kawan saya yang merupakan tahanan dari Vietnam. Katanya lebih kurang begini, kalau kita pernah merasa hidup dalam tahanan, pernah merasa susah, pernah diaibkan, bila keluar dari sini nanti, kita tidak akan fikirkan sangat tentang perkara yang remeh-temeh.

“Kata-katanya melekat dalam hati saya dan hingga hari ini, saya malas hendak ambil pusing tentang perkara remeh-temeh,” katanya mengakhiri perbualan. -Kosmo 

No comments: