Thursday 29 November 2012

Retorik PAS memakan diri

 Oleh Khazan Che Mat




Tahap pemikiran manusia berbeza. Sesuatu yang tidak jelas mudah mengelirukan dan mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan sebahagian mereka yang kurang maklumat atau ilmu. Tidak hairanlah apabila sesuatu hadis atau nas al-Quran ditafsir secara songsang atau salah oleh seseorang pembawa ajaran sesat, ada juga yang menjadi pengikut dan bilangan mereka tidak sedikit.

Agama amat menekankan kejelasan dalam percakapan, sesuatu ungkapan yang boleh membawa makna yang berbeza hendaklah dielakkan. Diriwayatkan, sahabat-sahabat apabila memohon sesuatu daripada Nabi mereka selalu menggunakan ungkapan ‘raaiinaa’ yang bermaksud berilah perhatian kepada kami. Namun kerana dalam percakapan orang Yahudi perkataan tersebut bermaksud bodoh dan mereka sering ketawakan Nabi SAW sesama mereka apabila sahabat melafazkannya di hadapan Baginda maka ayat 104, surah al-Baqarah diturunkan menegah sahabat menggunakan ungkapan itu dan menggantikannya dengan perkataan ‘unzdurnaa’ yang bermaksud pandangilah kami.

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda sebaik-baik percakapan ialah yang ringkas dan jelas. Banyak hadis yang menyentuh mengenai bercakap. Ada hadis yang menyatakan ada manusia yang masuk syurga dan neraka hanya akibat ucapannya yang dianggap kecil. 

Kebelakangan ini, demi bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya, PAS dengan mudah mendakwa negara Islam tiada dalam al-Quran walaupun ia telah sekian lama mereka laung-laungkan”

Dalam politik kita tidak dapat lari daripada bercakap dan berucap. Muktamar dan persidangan tahunan parti politik utama tanah air sentiasa mendapat perhatian media kerana orang ramai mahu tahu apa yang diucapkan oleh presiden dan dibahas oleh perwakilan.

Strategi pemimpin pembangkang
Bercakap adalah satu seni yang memerlukan kemahiran. Orang yang petah dan mahir berucap mampu mempengaruhi orang lain dengan mudah. Inilah strategi yang sering digunakan pemimpin pembangkang dalam ceramah dan kempen politik mereka.

Dengan kepetahan dan menyandarkan kepada ayat al-Quran mengenai hukum hudud, mereka mendakwa parti mereka wajib disokong kerana perjuangkan pelaksanaannya. Pada masa sama mereka melabelkan penolakan kepada parti mereka sebagai menolak hukum hudud dan boleh mengakibatkan murtad. Mereka sama sekali tidak menjelaskan situasi yang mewajibkan hudud ini dilaksanakan dan kenapa banyak negara lain yang majoriti penduduknya Muslim tidak melaksanakan hukuman ini. Menyokong parti Melayu UMNO pula dianggap asabiah dan ditegah Islam tanpa menafsirkan maksud asabiah yang sebenar. Itulah antara isu yang menjadi punca solat dua imam yang berlaku meluas di beberapa negeri satu masa dahulu.
Kebelakangan ini, demi bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya, PAS dengan mudah mendakwa negara Islam tiada dalam al-Quran walaupun ia telah sekian lama mereka laung-laungkan. Mereka lupa pernah melancarkan buku khas dokumen negara Islam.

Terkini dalam membela adik Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dikecam ramai kerana mendoakan kebinasaan UMNO dalam muktamar mereka baru-baru ini, pemimpin PAS mendakwa ia doa ke atas parti bukan ke atas orang UMNO. Begitulah dangkalnya hujah mereka yang menafikan maksud yang lazim difahami. Mendoakan kehancuran parti UMNO samalah dengan mendoakan kehancuran orang UMNO kerana UMNO tiada makna tanpa orangnya.

Tersasar perjuangan asal
Demikianlah dalam ghairah mengejar kuasa PAS dilihat mula tersasar daripada perjuangan asal. Mereka hapuskan konsep negara Islam kononnya ia tiada dalam al-Quran, tapi mereka lupa masyarakat sudah sebati dengan ungkapan bank Islam, pakaian Islam, pajak gadai Islam dan macam-macam lagi yang disandarkan kepada Islam dan juga tidak disebut secara jelas dalam al-Quran seperti negara Islam.

Akibat banyak bercakap dan ghairah mengejar sokongan bukan Islam, temberang mereka semakin menyerlah. Ketika sokongan daripada bukan Islam kepada PAS dikatakan bertambah, orang Melayu Islam mula keluar daripada parti itu. Benarlah sabda Nabi SAW, sesiapa yang banyak cakapnya banyaklah salahnya. Hadis ini ada sambungannya, tetapi sekadar ini ia telah memadai untuk diambil pengajaran. -
BH

Penulis ialah EXCO Agama Terengganu

No comments: