Wednesday 15 August 2012

Usah boros menyambut Hari Raya Aidilfitri


MENJELANG Hari Raya Aidilfitri, di Malaysia suasana menyambutnya umpama pesta. Tidak keterlaluan dikatakan sebagai pesta membeli-belah di sana sini.

Baik di kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Ramai sungguh yang sanggup mengharungi kesesakan lalu lintas berjam-jam di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Peniaga pula menawarkan pelbagai potongan dengan harga jualan paling murah! Berebut-rebutlah pembeli seolah-olah esok sudah tiada lagi. Tidak langsung menggambarkan keletihan meskipun masih di bulan Ramadan.

Hebat! Mungkin semangat membeli belah lebih berkobar-kobar ketika begitu ramai orang memenuhi kompleks beli-belah. Lagi ramai lagi bersemangat untuk membeli-belah.

Alangkah indahnya, 10 malam terakhir ini, diperbanyakkan ibadat. Sepatutnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, kita semakin sayu kerana Ramadan ingin meninggalkan kita dan bukannya semakin rancak bergembira sakan untuk berlumba-lumba mendapatkan tawaran harga murah daripada para peniaga.
Bagi orang yang beriman, mereka akan sentiasa menambahkan amalan di saat-saat terakhir bulan Ramadan. Tidak diketahui sama ada kita masih boleh berjumpa dengan Ramadan pada masa akan datang.

Di saat-saat akhir bulan Ramadan dan sebelum solat Hari Raya Aidilfitri, jangan sesekali kita lupa membayar zakat fitrah. Amat rugi orang yang sanggup membeli-belah beribu-ribu ringgit menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi zakat fitrah dilupakan. Lebih teruk lagi, golongan yang sengaja tidak mahu mengeluarkan zakat fitrah.

Sememangnya agama Islam menyarankan umatnya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan bergembira. Tetapi rasa bergembira ini perlu disusuli dengan rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mencapai kemenangan mengawal hawa nafsu sepanjang Ramadan.

Malangnya, di penghujung Ramadan, kebanyakan umat Islam Malaysia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk beraya sakan. Bonus dan gaji digunakan sepenuhnya.

Tidak cukup dengan itu, sanggup pula membuat pinjaman peribadi dengan bank dan ah long. Masakan tidak, banyak sungguh wang diperlukan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maklumlah setahun sekali, jadi apalah salahnya wang yang dikumpul setahun dihabiskan untuk Hari Raya Aidilfitri.

Kuih-muih, duit raya, pakaian raya, beg tangan raya, kasut raya, jam raya, perabot raya dan langsir raya sudah sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri. Rambang mata melihat iklan-iklan tawaran harga murah. Strategi pengiklanan yang dilakukan oleh peniaga dimulakan sejak sebulan sebelum Ramadan.

Tak cukup dengan itu, kereta raya juga didambakan meskipun kereta lama masih baik untuk digunakan. Mungkin bagi mereka ini, wang penyelenggaraan kereta boleh digunakan untuk membuat pembayaran pendahuluan membeli kereta baru.

Maka, tidak hairanlah, di saat ini juga, pihak penjual kenderaan boleh tersenyum lebar kerana mengaut keuntungan lumayan. Jualan kenderaan melonjak tinggi. Inilah penangan sempena menyambut Aidilfitri.

Kerana ingin menyambut sakan Hari Raya Aidilfitri, ada yang sanggup bekerja sambilan semata-mata untuk mendapatkan wang lebih. Ada juga yang sanggup menjual makanan yang basi di bazar Ramadan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara.

Malahan, sesuatu yang tidak mengejutkan, ada yang sanggup menyelewengkan tapak bazar Ramadan untuk mengaut keuntungan lebih. Amat malang sekali kerana tujuan asal berniaga untuk mencari keuntungan yang diredai Allah SWT dan bukannya dengan cara menyelewengkan bazar Ramadan semata-mata ingin mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Lagi malang jika wang tersebut digunakan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga dan mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal. Mereka yang melakukan kerja ini langsung tidak berhati perut kerana sanggup menindas orang lain. Bagi mereka wang adalah segala-galanya, kesusahan orang lain jangan dipedulikan.

Umum mengetahui ketika bulan Syawal, ramai berlumba-lumba untuk mengadakan rumah terbuka. Ahli politik, tokoh korporat yang dikategorikan sebagai orang kenamaan VVIP dan VIP serta tidak ketinggalan orang kebanyakan tidak sabar-sabar untuk mengadakan rumah terbuka.

Tidak salah mengadakan rumah terbuka bagi menjamu makanan untuk tetamu dan pada masa sama bermaaf-maafan sesama tetamu, tetapi yang menjadi salahnya, rumah terbuka diadakan secara bermewah-mewah.

Ini yang dilarang oleh agama Islam kerana dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.
Paling dirisaukan, niat awal untuk menjamu makanan kepada tetamu bertukar untuk menunjuk-nunjuk kononnya aku mempunyai wang yang paling banyak.

Islam amat menyarankan agar sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut secara sederhana. Sederhana bermaksud tidak keterlaluan dengan bermewah-mewah tetapi pada masa sama bagi yang mampu tidak pula terlalu kedekut mengeluarkan wang sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri serba kekurangan.

Inilah indahnya agama paling suci di dunia iaitu agama Islam. Bersederhanalah dalam semua segi supaya tidak memberi kesan negatif kepada umatnya dan bukannya meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan sakan sekali. Tidaklah nanti di penghujung Syawal, ramai yang mengeluh tidak cukup wang untuk menjalani kehidupan seterusnya dan sekali lagi kedengaran suara agar bonus diberikan kepada mereka.

No comments: