Tuesday 7 August 2012


Ramadan jihad lawan hawa nafsu
 Oleh Mohd Ali Muhamad Don 
Kesungguhan mempraktikkan ajaran agama seperti solat dan puasa pada Ramadan turut mengandungi falsafah jihad yang murni. Bukan mudah untuk istiqamah melaksanakannya dengan pelbagai ujian dalam mendidik nafsu terpaksa dilalui sebelum beroleh kemenangan dijanjikan.

Beberapa peristiwa penting menunjukkan kegigihan dan kesabaran umat Islam terdahulu patut dijadikan iktibar. Walaupun dalam keadaan berpuasa, tentera Islam pimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW pernah melalui beberapa siri peperangan dan beroleh kemenangan. 
 

Contohnya, peristiwa Perang Badar al-Kubra yang berlaku tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah jelas menunjukkan puasa bukan penghalang kejayaan.

Begitu pula bilangan yang ramai belum tentu menjanjikan kemenangan jika tidak disertai semangat juang yang tinggi dan bertawakal kepada Allah SWT. Pembukaan Kota Makkah pada tahun kelapan hijrah, Peperangan Tabuk (sembilan hijrah) dan peristiwa penaklukan Bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayubi pada 584 hijrah turut berlaku ketika Ramadan.

Ia sekali gus menunjukkan umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan spiritual dan fizikal pada paras tertinggi ketika sedang berpuasa. Malah, tidak salah jika dikatakan Ramadan adalah bulan kemenangan dan kejayaan bagi Muslimin secara umumnya.

Di sisi lain, golongan remaja dan muda-mudi terutama yang masih di bangku sekolah mahupun di menara gading selayaknya menghayati semangat jihad golongan terdahulu dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyumbang bakti kepada pertiwi.

Masa muda, anugerah tidak ternilai hendaklah digunakan untuk aktiviti berfaedah dan memberi impak tinggi demi kelangsungan agama dan bangsa sendiri. Elakkan terbabit berbuat dosa dan maksiat sepanjang masa sehingga ajal datang menjelma tanpa bersedia dengan bekalan secukupnya.

Umat Islam secara umumnya diseru bersatu atas nama akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk menggembleng tenaga memajukan bangsa dan negara. Perbalahan dan perselisihan berpanjangan mesti dielakkan jika tidak ia bakal menghilangkan kekuatan kesatuan umat Islam sehingga mudah diperkotak-katikkan oleh musuh.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana apabila nasi sudah menjadi bubur, kenikmatan dan keharmonian yang wujud pada hari ini tidak dapat lagi diwarisi oleh generasi terkemudian.

Allah SWT berfirman: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal, ayat 60)

Kesediaan menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT juga suatu bentuk jihad yang dituntut kerana harta sangat dicintai dan sukar untuk seseorang memberikannya kepada yang lain kecuali jika dipaksa.

Segala pemberian yang ikhlas semata-mata mengharap maghfirah daripada-Nya pasti akan diberi balasan setimpal.

Sesungguhnya jihad masa kini tidak hanya tertumpu kepada usaha mengangkat senjata menentang kezaliman semata-mata. Skopnya luas termasuklah jihad menjawab segala tohmahan dan usaha keji memburuk-burukkan Islam serta umatnya di ruang siber.

Sarjana Islam dan ulama secara khususnya boleh menggunakan media baru bukan saja sebagai senjata untuk menangkis dakyah dan fitnah songsang, tetapi juga medium dakwah yang sangat berkesan dewasa ini.

Menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara keamanan dan kedamaian dikecapi dengan menunjukkan rasa kesyukuran tidak berbelah-bahagi atas nikmat pemberian Allah SWT.

Kesyukuran itu dibuktikan lagi dengan kesediaan semua untuk menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dengan apa juga kaedah yang diredai-Nya. Pada masa sama segala perkara mengundang kemurkaan-Nya hendaklah dijauhi dan dihindari daripada kehidupan selama-lamanya.
Ehsan : Berita Harian 

No comments: