Friday 18 May 2012

(gambar hiasan)


Rumah baru isteri setia
 

GERIK: Selepas sekian lama mendiami rumah buruk bersama anak lelakinya yang cacat, seorang wanita warga emas yang mendapat jolokan ‘isteri bau syurga’ akhirnya bakal menerima rumah baru menjelang Ramadan ini.

Kisah wanita berkenaan, Saadiah Abdullah, 76, sebelum ini pernah dipaparkan media apabila dia dikatakan tetap setia menghantar makanan setiap hari ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik kerana terlalu merindui suaminya yang terkorban akibat serangan komunis kira-kira 37 tahun lalu.

Dengan kudrat yang semakin lemah, Saadiah masih meneruskan rutinnya mengayuh basikal sejauh lima kilometer setiap pagi dari rumahnya ke IPD Gerik, tempat arwah suaminya, Alias Nik Daud pernah bertugas ketika darurat sebelum maut akibat diserang hendap pada 28 Ogos 1975.


Saadiah yang ditemui semalam berkata, harapannya untuk memiliki rumah baru seolah-olah mimpi menjadi kenyataan selepas sekian lama tinggal di rumah usang berkenaan.

“Memang hati saya sebak melihat rumah pusaka yang banyak menyimpan kenangan bersama arwah suami sejak lebih 60 tahun lalu terpaksa dirobohkan.



“Namun, apakan daya, demi keselamatan saya dan anak, biarlah rumah kenangan itu digantikan rumah baru,” katanya pada majlis gotong-royong merobohkan rumah usangnya di Kampung Padang, Kuala Kenderong di sini, semalam.

Tepat jam 9.40 pagi, bahagian utama rumah Saadiah dirobohkan melalui gotong-royong disertai lebih 100 sukarelawan termasuk pegawai dan anggota dari IPD Gerik, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), pelatih Pusat Giat Mara Gerik serta penduduk kampung.

Sebahagian lagi rumah berkenaan tidak dirobohkan untuk dijadikan tempat berteduh sementara menunggu rumah baru itu disiapkan.


Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum dan Pengurus Giat Mara Gerik, Azmi Dahalan.

Abdul Manab berkata, rumah baru bernilai RM40,000 dan mempunyai tiga bilik itu akan dibina mulai Isnin depan selepas menerima peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


 Sumber: Harian Metro 18.05.2012


No comments: