Tuesday 22 May 2012


 
Belum pun reda ingatan kita terhadap buku Satanic Verses hasil karya Salman Rushdie pada 1980-an lalu di London yang menghina Tuhan, kini muncul pula seorang wanita Islam yang berfahaman liberalismie, pluralisme dan pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT). 
Justeru, ketegasan pihak bertanggungjawab sememangnya diperlukan bagi mengekang sebarang ancaman bentuk baru kumpulan ini terhadap umat Islam di negara ini. 
Ramai yang berharap kerajaan tidak akan berkompromi dan terus menghalang wanita terbabit, Irshad Manji, 48, daripada menyampaikan pandangannya ataupun melancarkan bukunya, Islam, Liberty and Love di sini kerana ia mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam. 
Jelas sekali bahawa pendirian wanita terbabit adalah bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan, Akta dan Enakmen Agama Islam negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat. 
Dalam satu kenyataan kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir mahukan semua jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program membabitkan wanita itu. 
Kita berharap pendirian menteri dan jabatan berkenaan dilaksanakan dengan tegas dan saya yakin umat Islam bersetuju dengan langkah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghalang sebarang program, forum atau ceramah di negeri berkenaan yang membabitkan Irshad Manji kerana menghina agama Islam. 
Larangan itu meliputi satu program di Universiti Monash, Bandar Sunway Jumaat lalu di mana Irshad dijadualkan menyampaikan pandangannya bertajuk ‘Keberanian Moral: Mewujudkan Ruang Untuk Islam dan Demokrasi’. 
Irshad adalah warga Kanada dan juga penulis buku The Trouble With Islam Today yang diharamkan di Malaysia. Buku itu mengandungi idealisme sama seperti dalam buku The Satanic Verses. 
Pendirian Malaysia dalam perkara ini adalah selaras dengan ketetapan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menolak orientasi seksual yang mendukung LGBT. 
Kemunculan kumpulan tertentu yang mendukung kehidupan bebas dan liberal ini sudah tentunya mengancam amalan biasa kehidupan umat Islam seperti yang kita lihat berlaku di sekeliling kita sejak akhir-akhir ini. 
Sekiranya tidak dibendung, tidak mustahil pada satu hari kelak ia tidak mampu lagi dikawal oleh masyarakat Islam terutama dengan pengaruh Barat akibat perkembangan hebat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tiada had atau garis sempadannya lagi. 
Umat Islam di negara ini hendaklah sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan fahaman ideologi yang dibawa oleh kumpulan atau individu tertentu. 
Kita juga berharap kerajaan bersikap tegas dan mengusir sebarang anasir seperti itu dari Malaysia sebelum dia mempengaruhi masyarakat di negara ini dengan pendirian liberalnya. 
Seperti ditegaskan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, sebagai seorang yang menyokong seks bebas, wanita terbabit seolah-olah cuba menjuarai isu kekebasan seks dan moral dan mahu ia menjadi sebahagian daripada norma kehidupan masyarakat Melayu walaupun jelas bertentangan dengan Islam. 
Setiausaha agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata beliau terkejut kenapa orang ini dibenarkan masuk sedangkan berita mengenai penganjuran program itu sudah diketahui sebelum ini. 
Wanita terbabit, tambahnya, menggalakkan sesuatu yang jauh menyimpang daripada tatasusila rakyat Malaysia. 
“Amalan seks bebas itu boleh menjadi ikutan anak muda zaman sekarang dan itu yang kita bimbangkan,” kata Syed Hassan. 
Dalam keadaan itu kerajaan, menerusi beberapa agensi dan jabatan seperti JAKIM serta ulama perlu mempunyai perancangan untuk mematahkan hujah yang dikelirukan oleh pihak tertentu seperti ini. Ancaman pemesongan akidah umat Islam ini harus ditangani dengan serius oleh pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN). 
Dalam usaha itu, kita perlu mengambil perhatian bahawa sekarang inipun sudah ada ramai golongan muda Melayu di negara ini yang tidak mempedulikan lagi soal agama mahupun kepentingan kaum. 
Adalah diharapkan semua pihak sama ada badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik, tidak kira dalam kerajaan mahupun pembangkang, tidak hanya sibuk dengan hal masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab besar membendung gejala moral dan seks bebas yang dibawa oleh anasir luar.
  

Posted by MALAYsian
   
KUALA LUMPUR - Teka-teki mengenai nasib Mohd. Nazmi Faiz akhirnya terjawab apabila pemain muda sensasi negara itu berjaya mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab bola sepak Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar sehingga Jun 2015.
                                                                                            
Nazmi dalam akaun laman Twitternya berkata seperti sukar mempercayai peluang yang diraih itu dan rasa bersyukur dengan kejayaan berkenaan.
‘‘Sukar untuk perjelaskan perasaan saya, ini adalah peluang besar dalam karier saya.
‘‘Bermain di Eropah adalah impian terbesar saya dan saya ucapkan terima kasih kepada keluarga serta peminat selama ini," katanya.
Nazmi sebelum ini telah meraih perhatian pihak ejen dari Singapura, Marco Guimaeres dan telah menawarkan tempat untuk menjalani pemilihan selama seminggu mulai 13 hingga 20 Mei lalu.
Nazmi memulakan latihan pertamanya bersama kelab yang terkenal dengan gelaran emas dan hitam itu, Khamis lalu bersama beberapa lagi pemain dari negara lain bagi mencari tempat beraksi di Portugal.
“Setiap ujian yang dilakukan oleh Nazmi dilalui dengan baik sekali, walaupun cuaca  di sini agak sejuk berbanding di Malaysia tetapi dia mampu berlari di atas padang dalam tempoh yang lama, dia mempunyai stamina yang tinggi.
“Nazmi juga berpeluang untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang pasukan simpanan kelab tersebut yang rata-ratanya dibarisi pemain muda, dia berjaya membantu skuad utama menang 2-1," ujarnya.
Pemain yang berusia 17 tahun dan beraksi di posisi tengah itu mula menunjukkan kehebatannya ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 London.
Namanya mula meniti di bibir peminat tempatan dan juga luar negara selepas berjaya melakukan jaringan cantik dari luar kawasan penalti ketika bertemu Bahrain, November tahun lalu yang menyaksikan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu tewas 2-3.
Nazmi kini menjadi pemain Asia Tenggara pertama bermain di Portugal dan berpeluang untuk mencipta nama di Eropah.

No comments: